1. Alhamdulillah , PRU ke 12 lalu menyaksikan Pakatan Rakyat menang bergaya . 5 buah negeri termasuk Kelantan yang berjaya dipertahankan sejak 18 tahun yang lalu sebelum Perak dirampas secara tidak bertamaddun oleh UMNO dan BN.
2. Kemenangan adalah ujian . Apakah kemenangan itu akan menjadikan kita bersyukur lalu kita tunai amanah dan tanggungjawab dengan sejujurnya atau kita kufur dengan kita mengabaikan amanah dan menjadikan kita tidak jauh beza dari kerajaan UMNO dan BN yang berjaya ditumbangkan itu.
3. Apabila kita menentang UMNO dan bersaing dengan mereka di dalam pilihanraya ertinya paling tidak kita mahu berbeza dengan UMNO atau kita mesti menjadi lebih baik dari UMNO . Berbeza dan lebih baik dari aspek moral pemerintahan dan pentadbiran samaada politik , ekonomi mahupun sosial .
4. Justeru itu , kerajaan Pakatan Rakyat yang telah pun memasuki tahun kedua , mestilah mempunyai pelan besar dan jelas untuk beranjak dan bergerak jauh kehadapan untuk menjadi lebih baik dari pemerintahan UMNO dan BN sebelumnya .
5. Tentu sukar dan masih terlalu awal untuk kerajaan Pakatan Rakyat berubah dalam semua perkara , tetapi Pakatan Rakyat boleh bermula dalam perkara asas yang telah dipersetujui oleh semua parti secara asasnya dan kemudian secara sistematik bergerak perlahan tetapi terancang untuk menjadikan kerajaan Pakatan Rakyat lebih baik dan akhirnya layak serta wajar disokong oleh seluruh rakyat negara ini yang inginkan keadilan , keamanan dan kesejahteraan
6. Bermula dengan rasuah yang mesti dihapuskan secara total kerana tiada siapa yang boleh membenarkan rasuah lantaran ia adalah amalan keji yang boleh meruntuhkan tamaddun atau peradaban manusia . Kemudian bertindak tegas terhadap apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran atau pemerintahan setelah kuasa kerajaan berada di tangan . Seluruh pemimpin Pakatan Rakyat khasnya yang dipilih menjadi ADUN mestilah mempamerkan disiplin yang tinggi sebagai pemerintah , pengurus dan pentadbir kerajaan
7. Seterusnya , langkah cepat dan pantas mesti dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat ialah mengekang pertumbuhan negatif dalam gejala sosial hari ini . Kerana , apabila kita menjadi kerajaan , maka politik bukan lagi segala - galanya tetapi juga mesti dilihat kepada kebajikan dan kawalan sosial agar rakyat tidak terjebak dan terdedah kepada risiko yang kelak tidak lagi mampu dibendung .
8. Pertumbuhan negatif pada sosial dan budaya masyarakat hari ini mencetus suasana tidak aman dan meletakkan rakyat rasa terancam ekoran jenayah , rompakan , ragut , rogol , seks bebas , pecah rumah , gengsterisme , perasugut dan 1001 penyakit yang berurutan dari pertumbuhan tersebut .
9. Ianya mesti ditangani secara bijak dan serius oleh Kerajaan Pakatan Rakyat sekurang - kurangnya melalui dua usaha bersepadu .
Pertama : Pendidikan Minda Rakyat . Lakukannya secara terancang dan jujur serta bersungguh . Selain wujudnya institusi pendidikan secara langsung seperti sekolah , kolej dan universiti , kerjaan Pakatan Rakyat memerlukan satu institusi tidak langsung yang mampu turun dan serap ke segenap minda anggota masyarakat . Agar mereka menjadi rakyat yang benar - benar bertamaddun , bestari , tinggi moral , berintegriti dan maju .
Kedua : Penguatkuasaan peraturan atau undang - undang . Tentu sahaja terdapat mereka yang sukar dibentuk dan didisiplinkan melalui pendidikan , sebalik mereka perlu peraturan untuk mengekang kemahuan mereka yang salah sekaligus mendisiplinkan mereka . Pastikan segala punca yang mencetus minda dan jiwa salah [ kotor dan bhatil ] dalam diri masyarakat dapat disekat dan dihapuskan .
10. Sudah menjadi tanggungjawab pemerintah yang diberi mandat untuk memastikan segala kefasadan dan kemungkaran tidak berleluasa justeru ia merosakkan aqal budi , jiwa naluri dan peri laku seorang insan yang sepatutnya membesar dan dewasa dengan nilai fitrah yang suci .
Kefasadan dan kemungkaran yang membawa kepada kerosakan kepada aqal , jiwa dan akhlak tidak terhenti setakat arak atau minuman keras sahaja . Tetapi juga judi dengan segala jenisnya , kelab malam dengan segala bentuk operasi tidak bermoralnya , saloon dan rumah - rumah urut yang menawarkan khidmat seks atau perlakuan tidak bermoral , penjualan VCD lucah dan separa lucah yang beroperasi bebas , konsert artis yang keterlaluan dan pergaulan bebas serta penghamilan anak di luar nikah yang semakin rutin dan diterima sebagai hak individu dalam masyarakat .
Kerajaan Pakatan Rakyat dengan segala keupayaan dan kuasa yang dimiliki biarpun terhad , mestilah menggunakannya semaksima mungkin kuasa yang ada demi melahirkan sebuah negeri [ atau negara kelak - insyaallah ] bimbingan Pakatan Rakyat yang benar - benar berbeza malah jauh lebih baik dari kerajaan UMNO dan BN . Jangan nanti kita hanya berbeza pada nama sahaja . Mereka UMNO dan BN sementara kita ialah Pakatan Rakyat !
Nota Tambah :
1. Judi : hanya menjadikan rakyat hilang daya berdikari . hanya bergantung nasib pada daun terup atau buah dadu dan sebagainya . Kalah judi membawa kepada hutang dan perasugut untuk mendapatkan wang . Seringkali keluarga terabai malah terhimpit ditengah - tengah kesempitan hidup yang sengaja dicipta lalu mereka mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa. Selain agama mengharamkannya [ tiada agama yang menghalalkannya ] , ia adalah jenayah ekonomi dan sosial yang meruntuhkan peradaban manusia dan menjadi amalan mereka yang tidak beragama .
2. Arak : Menghilangkan aqal , sedang kemulian manusia terletak kepada kecerdasan dan kepintaran aqalnya .Aqal yang hilang dan rosak hanyalah menyamatarafkannya dengan binatang yang tidak berhak memiliki tamaddun apalagi menguasai sebuah kerajaan dan pemerintahan . Bagaimana mereka mahu memimpin insan yang beraqal demi menjana pertumbuhan ekonomi dan menjaga kestabilan politik negara kalau mereka sendiri hilang [ tiada ] aqal . Hilang aqal atau mabuk boleh mencetus tindakan luar kawal dan dari sini jenayah selalu terjadi . Kalau memandu kereta sahaja dikira salah kerana mabuk apakah memandu dan memimpin rakyat tidak salah apabila mabuk [ hilang aqal ] justeru itu hapuskan arak .
3. Kelab Malam dan Pusat Hiburan : Ia adalah pusat nafsu bermaharaja lela . Inilah tempatnya di mana pil ectasy , syabu dan segala nama lain bagi dadah , arak membuih , tarian lucah serta berpelukan dan bertelanjangan sehingga ke awal pagi dalam sebuah kelab malah semua aktivitinya adalah aktiviti yang tidak bermoral . Layan nafsu dan curang terhadap rumahtangga . Malah mengeksplotasi wanita untuk menjadi alat pemuas nafsu lelaki jalang . Hilang maruah dan harga diri dijual dan dilacurkan demi sebuah kepuasan tanpa had.
4. Pergaulan dan Seks bebas : Menuju ke arah free sex dan melahirkan sebuah masyarakat yang tidak bermoral . Institusi kekeluargaan kian runtuh dan maruah diri menjadi rendah dan tergadai . Tiadalah kasih sayang justeru mereka bebas bergaul dan lebih cemar dunia ini apabila lahirnya anak tanpa bapa yang sah [ di luar nikah ] . Percubaan untuk menghalalkan kehamilan luar nikah adalah usaha dan percubaan yang tidak rasional dan bermoral . Selain bercanggah dengan agama , ia melambangkan peribadi yang tidak ada akhlak dan asas moral yang murni malah lebih ketara ialah bercanggah dengan adab dan adat ketimuran . Kalau pun tidak muslim , kita kan orang timur !
5. Konsert Artis yang Keterlaluan dan VCD Lucah : Hiburan tidaklah salah , tetapi yang salahnya ialah keterlaluan . Artis yang tampil dengan pendedahan aurat yang ketara , pula berpakaian seksi dan merangsang nafsu liar . Membina minda yang songsang dikalangan anak - anak muda yang memuja mereka sebagai artis . Begitulah juga kesan VCD lucah yang semakin berlambakan tanpa kawalan dan pembenterasan yang berkesan . Menjadikan rakyat beransur - ansur rasuk pemikiran kuning dan lucah .
Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi at 09:50 3 comments Links to this post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan