Isnin, 16 Jun 2008

Dilema Najib: Mencabar Abdullah atau menunggu dia berundur

Petikan dari Siasah Online

Read more: http://siasahdaily.blogspot.com/

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang berada di persimpangan. Mencabar bosnya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau membiarkan pihak lain mencabar dan menerima risiko tidak akan merasa kerusi Presiden Umno dan Perdana Menteri itu.

Sehingga kini, Tengku Razaleigh Hamzah sudah mengesahkan akan mencabar Presiden Umno dalam pemilihan parti Disember nanti. Yang sedang diusahakan oleh beliau sekarang adalah mencukupkan pencalonan untuk membolehkan beliau bertanding.

Untuk itu, pelbagai usaha telah dibuat oleh beliau dan penyokongnya termasuk menawarkan jawatan kanan kepada pemimpin Umno di Sabah.

Najib kekal dengan sikapnya tidak mahu melawan bos, sekurang-kurangnya di mata umum.
Namun, usaha keras sedang dibuat oleh penyokong dan petugas-petugas beliau untuk menekan Abdullah agar berundur menjelang perhimpunan Umno nanti untuk membolehkan Najib memegang jawatan itu secara yang baik.

Yang menjadi dilema beliau adalah bagaimana kalau Abdullah enggan berundur kerana mengikut pelan Abdullah sendiri dia akan berundur selepas 2010 nanti.

“Jika begitu, tetap aka nada orang yang akan mencabar Abdullah. Bagaimana kalau orang itu bukan Najib. Ku Li misalnya dan menang pula kerana peluang untuk menjatuhkan Abdullah dalam suasana sekarang sangat tinggi. Apa nasib Najib selepas itu?” kata satu sumber.

Oleh itu, Najib tidak boleh menolak faktor beliau akan terlepas peluang untuk menjadi presiden Umno jika tidak bertanding kali ini.
Rakan sepasukan Najib kini adalah Tan Sri Muhyidin Yasin yang nampaknya lebih vokal dalam menyampaikan hasrat dan menekan agar Abdullah berundur sebelum Disember ini.

“Muhyidin sudah mengesahkan akan bertanding timbalan presiden. Running mate beliau adalah Rais Yatim yang akan bertanding naib presiden. Jadi, ke mana Najib kalau tidak bertanding presiden. Ini yang Najib tak mahu lakukan. Sebab itu, cara yang diambil Najib adalah memberikan tekanan kepada Abdullah agar berundur dengan baik. Ini yang dinamakan mempercepatkan proses peralihan kuasa,” kata satu sumber Umno kepada Siasah.

Menurut sumber itu juga, pelbagai cara dilakukan Najib untuk menekan Abdullah.

Di Terengganu, orang Najib dikatakan datang dan bekerjasama dengan Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) untuk kempen menyerahkan balik royalty minyak kepada kerajaan negeri Terengganu.

“Ini adalah usaha untuk menekan Abdullah,” kata sumber itu.

Dalam kes kenaikan harga minyak juga ada unsur tekan menekan ini.

“Najib memperlihatkan sokongan kepada pengumuman Abdullah menaikkan harga minyak padahal dia tahu rakyat marah dengannya. Ini pun sebenarnya satu usaha untuk memberikan tekanan kepada Abdullah,” kata seorang wartawan kanan.

Persoalan kewajaran Najib untuk memimpin Umno juga dibangkitkan kerana beliau terpalit dengan pelbagai skandal. Dari Altantuya hinggalah skandal pembelian pelbagai jenis peralatan tentera.

“Walaupun Najib dilihat tidak bersih dan terpalit dengan pelbagai skandal tetapi Umno tidak ada pilihan. Jika tidak mahu Abdullah, Najiblah sahaja pilihannya,” kata wartawan itu lagi kepada Siasah.

Dalam pada itu, Abdullah sendiri dikatakan mula membina pasukan sendiri setelah para penyokong beliau tahu Najib bukanlah pihak yang boleh dipercayai untuk mempertahankan dirinya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan disebut-sebut sebagai ‘running mate’ Abdullah.

“Mohamad Hassan telah umumkan akan bertanding untuk naib presiden. Dan tidak mustahil beliau juga akan dicalonkan untuk timbalan presiden. Nampaknya, mengikut perkiraan Abdullah, Najib akan kekal bersamanya. Tetapi jika apa-apa berlaku, Mohamad Hassan yang akan bertanding timbalan presiden melawan Muhyidin,” kata satu sumber kepada Siasah.

Kenapa Mohamad Hassan?

“Mengikut orang Abdullah, Mohamad Hassan tidak dilihat terlalu ambitious. Lagipun, beliau antara pemimpin yang sedang naik dalam Umno sekarang,” kata sumber itu lagi

Tiada ulasan: