Isnin, 11 Januari 2010

KENYATAAN MEDIA : ISU BAKAR GEREJA & PROVOKATOR

Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru seluruh ahli di semua peringkat agar tidak menyertai mana-mana demontrasi atau terlibat dalam tindakan-tindakan provokasi yang akan mengeruhkan lagi keadaan ekoran dari cubaan membakar gereja baru-baru ini.
Seperti yang telah kami nyatakan melalui kenyataan media Ketua Penerangan kami, bahawa mungkin akan ada tindakan susulan dari pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan tindakan jahat keatas masjid dan surau pula bagi memberi gambaran bahawa adanya serang balas oleh pihak yang diserang.

Sama ada kejadian di Surau Taman Menara Maju, Kg Jawa, Klang subuh semalam merupakan tindakbalas penganut agama lain atau angkara provokasi yang terancang atau tindakan orang mabuk dan sebagainya, yang perlu kita ambil pendirian bersama ialah jangan kerana sedikit cetusan yang dibuat oleh perseorangan atau sekelompok kecil manusia yang primitif menyebabkan kita melenting lalu bertindak melulu dengan cara yang sama.

Jangan kerana seorang yang berlainan bangsa melakukan suatu bentuk onar maka kita terus menghukum semua bangsa tersebut sebagai pengkhianat lalu menghalalkan tindakan-tindakan yang dilarang oleh agama terhadap bangsa yang berlainan dengan kita itu.

Cubaan membangkitkan kekacauan antara agama adalah suatu tindakan yang sangat jahat kerana kesannya mungkin akan menyamai kesan kekacauan tragedi 13 Mei 1969.
Kami menyeru semua rakyat Malaysia tak mengira agama dan bangsa untuk tidak terpengaruh dengan taktik kotor sebahagian ‘rasis’ yang memulakan api permusuhan kaum dengan agenda yang tidak diketahui.

Ingatlah bahawa kelahiran anda sebagai bangsa apa pun bukanlah atas kehendak anda sendiri tetapi telah ditakdirkan Allah sejak azali lagi. Tidak ada seorang pun yang pernah mengisi borang permohonan untuk lahir sebagai laki-laki atau perempuan atau untuk lahir sebagai melayu, cina, india, inggeris dan sebagainya.

Marilah kita bersama-sama menanggani segala perselisihan dengan cara yang penuh baik dan rasional sebagai sebuah bangsa yang merdeka dari sebarang bentuk jajahan minda.
Allah menegaskan dalam Al-Quran, “orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa”, tanpa mengira bangsa dan keturunan.

DEWAN PEMUDA PAS SELANGOR.10 JANUARI 2010

Tiada ulasan: