Abdul Halim Mohd Rashid Tue May 20, 08 8:39:54 am MYT
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Kira-kira 300 orang ahli Umno Cawangan Jalan Badlishah di Merbok keluar beramai-ramai dari parti itu untuk bersama-sama dengan bekas presiden mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan keluar dari parti itu semalam. -->-->
Ketua cawangan tersebut, Mej (B) Anuar Abdul Hamid memberitahu The Star, ahli-ahli Pemuda, Wanita dan Puteri cawangan tersebut juga keluar dari Umno.
Kira-kira 100 ahli cawangan itu menghadiri majlis bertajuk "Nasib kedudukan Bangsa Melayu" yang diadakan di sebuah hotel di Alor Star semalam di mana Dr Mahathir tiba-tiba mengumumkan keputusannya keluar dari Umno.
Mereka yakin ahli-ahli Umno dari cawangan lain juga akan mengambil tindakan yang sama.
Anuar memberitahu, mereka tidak akan menganggotai mana-mana parti dan akan menyertai Umno semula apabila Presiden parti itu kini, Datuk Seri Abdullah Badawi berundur.
Di Kubang Pasu, beberapa ketua cawangan memberitahu, mereka merancang untuk memulaukan mesyuarat agung parti itu.
Bekas Menteri Besar Kedah yang juga bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid pula mengumumkan beliau "sudah lama" keluar parti itu.
Seorang lagi bekas Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Khalid Abdullah juga mengumumkan akan keluar Umno sambil memberitahu tiga Ketua Bahagian di Kedah juga akan mengambil tindakan yang sama.
Di Johor, melalui ikrar ketika pertemuan dengan Dr Mahathir Sabtu lalu, kira-kira 200 cawangan dijangka akan dibubarkan sebelum mesyuarat cawangan-cawangan Umno dimulakan.
Ketika mengumumkan keputusannya untuk keluar dari Umno, Dr Mahathir menyifatkan keahliannya di dalam Umno tidak bermakna dan tidak berguna lagi kerana Presiden parti itu kini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi "buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli Barisan Nasional (BN)".
"Oleh kerana Datuk Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli Umno pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana Umno yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi", kata bekas Perdana Menteri dalam blognya, chedet.com
Dalam penjelasan lanjut di dalam blognya itu, bekas Presiden Umno itu memberitahu, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga keluar dari Umno.
Anak mereka, Datuk Mukhriz Mahathir berkata buat masa ini beliau tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai tindakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan keluar Umno pagi tadi.
Ahli Parlimen Jerlun iti memerlukan masa untuk berfikir mengenainya.
"Sekarang ini saya sedang berfikir," kata Mukhriz yang juga exco Pemuda Umno dalam lamanweb Agendadaily.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kenyataan bekas Dr Mahathir yang hanya mahu kembali ke dalam Umno selepas Abdullah meletak jawatan sebagai tidak bertanggungjawab.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam pula menyifatkan tindakan Dr Mahathir keluar Umno seperti 'duri dalam daging sudahpun terkeluar'.
Pucuk pimpinan Umno pula, kata Musa yang meletak jawatan kerana krsis dengan Dr Mahathir, harus menerima realiti bahawa umno tidak sekuat dahulu dan konsep 'Mahathirisme' sudah berlalu.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau tidak berhasrat meninggalkan Umno dan akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti itu Disember akan datang.
"Kalau saya keluar daripada parti, saya hendak lawan dengan siapa?" tanya beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan